Zahid akan bawa isu hidangan alkohol ke Kabinet

Zahid akan bawa isu hidangan alkohol ke Kabinet

Timbalan perdana menteri tidak puas hati hidangan minuman alkohol pada majlis makan malam terkait Tourism Malaysia.

zahid hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Umno menolak sekeras-kerasnya tindakan itu sebagai tidak wajar serta bercanggah kedudukan Malaysia sebagai negara Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Isu hidangan minuman alkohol pada majlis didakwa melibatkan Tourism Malaysia akan dibincangkan di Kabinet, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid, yang juga presiden Umno menegaskan pihaknya menolak sekeras-kerasnya tindakan itu sebagai tidak wajar serta bercanggah kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

“Saya sendiri akan membawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri atas ketidaksetujuan Umno, dan sebagai presiden parti, kita menolak 100% acara itu kerana ia adalah adalah acara yang tidak pernah diadakan di negara kita,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menafikan penglibatan kementeriannya berhubung dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, bahawa minuman beralkohol dihidangkan pada satu majlis makan malam anjuran kerajaan, dengan menjelaskan majlis itu sebenarnya dianjurkan pihak industri.

Hari ini, beliau menjelaskan pihak industri mengambil alih penganjuran majlis makan malam gala yang diadakan bersempena dengan Global Travel Meet (GTM) anjuran Tourism Malaysia.

Beliau mengakui Tourism Malaysia pada awalnya merupakan penganjur, namun pihak sektor swasta melihat wujud peluang untuk memperoleh perjanjian perniagaan yang besar.

Tiong berkata, ketua pengarah Tourism Malaysia telah memohon kelulusannya bagi perubahan berkenaan, dan beliau memberi kebenaran mengambil kira langkah itu juga dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.