Flotilla Gaza: Putrajaya sedia gerak usaha pastikan rakyat selamat

Flotilla Gaza: Putrajaya sedia gerak usaha pastikan rakyat selamat

Kerajaan bersedia menggerakkan saluran diplomatik menerusi negara sahabat bagi menjamin keselamatan semua peserta misi GSF.

GLOBAL SUMUD FLOTILLA
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini. (Gambar EPA Images)
SEPANG:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, selain lebih 500 peserta antarabangsa lain yang kini berdepan situasi getir di wilayah bergolak itu.

Memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kerajaan bersedia menggerakkan saluran diplomatik menerusi negara sahabat berdekatan bagi menjamin keselamatan semua peserta misi GSF.

“Kita akan meminta pertolongan daripada negara-negara sahabat untuk membantu sedaya mungkin, bukan sahaja 34 rakyat Malaysia yang berada di sana, tetapi juga seluruh 500 ahli rombongan flotila supaya tindakan segera dapat dilakukan untuk menyelamatkan mereka,” katanya pada sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse.

Zahid berkata beliau akan turut menghubungi Menteri Luar Mohamad Hasan yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung PBB, bagi membincangkan langkah diplomatik yang boleh diambil segera.

Selain itu, perbincangan akan diadakan dengan Menteri Pertahanan Khaled Nordin mengenai kaedah terbaik melibatkan kementerian itu dalam usaha bantuan dan pemulangan peserta misi ke tanah air.

“Kita akan perincikan jenis dan bentuk bantuan yang akan kita berikan nanti,” katanya.

Zahid menegaskan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan segala usaha akan digerakkan bagi memastikan mereka kembali dengan selamat.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada 34 individu terbabit kerana berani menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza meskipun berdepan pelbagai cabaran dan ancaman.

Menurutnya, mereka berlayar jauh menempuh risiko termasuk serangan bom dan dron serta menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan misi itu yang kini berada di zon kuning dan dijangka memasuki zon merah dalam masa terdekat.

Zahid berkata misi melibatkan 45 negara itu membuktikan semakin banyak negara bersama Palestin, termasuk yang sebelum ini menyokong Israel tetapi kini berubah haluan seperti United Kingdom.

Sebelum itu, Zahid mengadakan telesidang bersama 34 rakyat Malaysia yang kini dalam pelayaran di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

Kumpulan rakyat Malaysia itu merupakan sebahagian daripada aktivis dari 44 negara yang kini semakin menghampiri Gaza dan cekal berdepan pelbagai rintangan dan ugutan termasuk serangan dron.

“Misi ini bukan soal agama tetapi soal kemanusiaan sejagat. Gaza berdepan kebuluran dan penindasan dan wira serta wirawati kita mewakili Malaysia telah menunjukkan keberanian luar biasa,” katanya.

Zahid menyifatkan serangan udara Israel terhadap pelarian di Gaza sebagai cubaan menakut-nakutkan konvoi kemanusiaan GSF.

Beliau berkata keadaan di Gaza semakin kritikal apabila hampir 3/4 wilayah itu musnah akibat pengeboman.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.