Kedatangan Trump keputusan bersama pemimpin Asean

Kedatangan Trump keputusan bersama pemimpin Asean

Zahid Hamidi berkata Malaysia kekal dengan pendirian tegas menentang sebarang campur tangan AS dalam isu Gaza dan Palestin.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata sebagai pengerusi Asean, Malaysia menghormati keputusan sebulat suara dibuat semua 10 pemimpin negara anggota. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean di ibu negara hujung bulan ini bukan keputusan eksklusif Malaysia sebagai tuan rumah, sebaliknya konsensus semua negara anggota.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebagai pengerusi Asean, Malaysia menghormati keputusan sebulat suara dibuat semua 10 pemimpin negara anggota.

Namun, Zahid berkata Malaysia kekal dengan pendirian tegas menentang sebarang campur tangan AS dalam isu Gaza dan Palestin.

“Trump ialah presiden AS, namun ini tidak menghentikan ketidaksetujuan kita jika ada campur tangan Amerika terhadap apa yang berlaku di Gaza dan Palestin.

“Pendirian itu tidak pernah berubah, namun sebagai pengerusi Asean, Malaysia harus menghormati keputusan sebulat suara pemimpin-pemimpin Asean,” katanya menurut Bernama pada sidang media selepas melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran Mara Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin, di Johor Bahru.

Zahid berkata, isu kehadiran Trump itu juga berkemungkinan dibahas pada sidang Parlimen yang akan bermula esok.

“Mereka (Ahli Parlimen) boleh berbeza pendapat, tetapi kita harus menghormati keputusan Sekretariat Asean,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.