
Zahid berkata pengalamannya mengajar kejayaan menguasai naratif sebelum menjadi kerajaan tidak menjamin kejayaan mengurus naratif semasa memerintah.
“Sebagai, contoh terdapat beberapa tokoh di dalam kerajaan sekarang yang ketika menjadi pembangkang sangat-sangat tangkas menguasai media sosial.
“Tetapi apabila menjadi kerajaan dan dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri semua kehebatannya itu hilang,” katanya di majlis Malam Kilauan Mutiara dan Sambutan Tiga Dekad Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Zahid juga mengingatkan kepentingan menguasai media sosial sama seperti yang dilakukan pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Katanya, kedua-dua pemimpin itu menggunakan strategi kandungan, sasaran mikro, respon cepat dan jaringan pempengaruh untuk memenangi minda rakyat sebelum mereka melangkah ke peti undi.
“Hakikatnya jika kita gagal menguasai media sosial, kita boleh tewas dalam mana-mana pilihan raya walaupun mempunyai capaian dasar yang baik,” katanya.
Zahid menambah beliau melihat Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM mempunyai peranan yang sangat strategik dan boleh menjadi makmal naratif negara.
“Fakulti ini berada di simpang jalan antara ilmu dan praktik dengan kepakaran komunikasi, bahasa dan penyelidikan,” katanya.