
POASM membuat tuntutan itu susulan perkembangan ‘town hall’ anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada Isnin, di mana peserta yang antaranya ketua-ketua masyarakat Orang Asli dimaklumkan bahawa masyarakat Orang Asli kena memohon kerajaan negeri menyediakan undang-undang berkaitan tanah adat, memandangkan tanah adalah hak negeri.
Presiden POASM, Ajis Sitin, menyifatkan kenyataan itu “amat mengecewakan”.
“Pertamanya, kerana sudah banyak penghakiman mahkamah telah mengiktiraf TWA. Kelazimannya apabila mahkamah memutuskan demikian, keputusan itu akan jadi undang-undang negara,” katanya kepada FMT.
“Keduanya, di dalam AOA sedia ada Seksyen 6 dan Seksyen 7 berkaitan tanah Orang Asli. Bila perizaban TWA tidak boleh masuk pula.”
Seksyen 6 menyatakan pihak berkuasa negeri boleh mengisytiharkan mana-mana kawasan yang diduduki kebanyakannya atau hanya oleh Orang Asli sebagai “suatu kawasan Orang Asli”.
Seksyen 7 pula menyatakan pihak berkuasa negeri boleh mengisytiharkan mana-mana kawasan yang diduduki hanya oleh orang asli sebagai “suatu rizab Orang Asli” dengan syarat-syarat tertentu.
“Rata-rata masyarakat Orang Asli mengharapkan supaya akta pindaan ini mengiktiraf TWA,” kata Ajis.
Pada 8 Sept lepas, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi memberitahu Dewan Negara bahawa kerajaan akan meminda AOA serta beberapa pendekatan baharu lain untuk memulangkan semula hak kepada masyarakat Orang Asli.
Ajis mengesahkan Zahid bersetuju supaya TWA dimasukkan dalam kajian pindaan AOA sewaktu mesyuarat khas Majlis Perundingan Orang Asli.
Pada 11 Ogos, Zahid, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata isu tanah Orang Asli antara perkara pokok yang dibincangkan dalam mesyuarat yang beliau pengerusikan itu.
Katanya ketika itu, lebih 1,000 sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan telah dilaksanakan, dan sesi hari itu amat penting sebelum isu tanah Orang Asli dibincangkan di peringkat Majlis Tanah Negara, yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Zahid berkata walaupun pentadbiran tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menjadi tunjang utama bagi memastikan setiap pindaan yang dicadangkan benar-benar mengambil kira kepentingan semua pihak, serta selaras dengan dasar dan bidang kuasa negeri.