
Zahid juga memberi jaminan semua pihak yang layak akan mendapat subsidi tersebut.
“Saya harapkan mana-mana pihak yang hadapi masalah untuk sabar dulu. Beberapa mekanisme pembaharuan sedang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kewangan.
“Tetapi jangan risau akhirnya semua pihak akan mendapat harga ditetapkan,” katanya selepas menghadiri ‘walkabout’ di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia France Institute (MFI).
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan orang ramai yang tidak layak menerima subsidi bawah BUDI95 kerana tidak mempunyai lesen memandu atau tidak memperbaharuinya lebih tiga tahun.
Zahid berkata, Jemaah Menteri juga sedang meneliti dan memperincikan beberapa masalah awal BUDI95.
Beliau berkata, antara yang sudah diluluskan JPN adalah penukaran MyKad yang mengalami kerosakan cip secara percuma.
“Memang peringkat awal terdapat beberapa masalah dan kita akan perbaiki sistem,” katanya.
Menerusi BUDI95, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan menggunakan MyKad.
Anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu lebih awal bermula Sabtu ini, diikuti sembilan juta golongan B40 terdiri penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) keesokannya, sebelum inisiatif itu diperluaskan kepada pengguna lain pada 30 Sept.
Kerajaan menjangkakan penjimatan RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pemansuhan subsidi pukal, yang akan disalurkan semula kepada bantuan bersasar seperti STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Orang ramai boleh menyemak kelayakan untuk menikmati subsidi bawah BUDI95 melalui laman sesawang khas www.budimadani.gov.my.
Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian bantuan 1300-88-9595 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Budi Madani.