GRS peroleh manfaat apabila STAR, SAPP keluar, kata pemerhati

GRS peroleh manfaat apabila STAR, SAPP keluar, kata pemerhati

Zaki Harry Susanto percaya pengunduran STAR dan SAPP akan membolehkan GRS menjadi lebih fokus, teratur, dan stabil.

GRS Sabah
Pengunduran STAR dan SAPP akan mengurangkan pertikaian mengenai kerusi dalam kalangan komponen-komponen GRS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah akan peroleh manfaat daripada keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Sabah Progressive Party (SAPP) meninggalkan gabungan itu, menurut pemerhati politik.

Zaki Harry Susanto percaya pengunduran STAR dan SAPP akan membolehkan GRS menjadi lebih fokus, teratur, dan stabil, lapor Jesselton Times.

“Dengan STAR dan SAPP keluar, GRS boleh beroperasi dengan lebih mudah di bawah satu simbol.

“Ia lebih mudah dan senang untuk difahami oleh pengundi, dan menampilkan imej yang lebih bersatu,” beliau dipetik sebagai berkata.

Zaki juga berkata, pengunduran STAR dan SAPP akan mengurangkan pertikaian mengenai kerusi dalam kalangan komponen-komponen lain.

GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah, PBS, Parti Maju Sabah, United Sabah National Organisation, Liberal Democratic Party, Parti Harapan Rakyat Sabah, dan Parti Cinta Sabah.

Semalam, GRS mengesahkan STAR dan SAPP telah meninggalkan gabungan itu.

Setiausaha Agung Masidi Manjun, berkata kedua-dua parti itu berkeras untuk bertanding dengan bendera masing-masing pada PRN akan datang, terutama apabila menentang Pakatan Harapan.

Beliau berkata, GRS tegas bahawa pakatan yang dicapai dengan PH pada Julai mesti dihormati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.