
Memberi keterangan di Mahkamah Sesyen, Bung berkata cadangan itu diteliti dan diluluskan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), iaitu entiti induk Felcra, selepas semakan selama tiga bulan.
Bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra itu juga berkata jumlah pelaburan ditentukan oleh MOF Inc, dan bukannya lembaga pengarah syarikat.
Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Low Chin How sama ada kegagalan lembaga pengarah menimbangkan pilihan pelaburan lain menjejaskan proses penilaian wajar (due diligence), Bung berkata tanggungjawab itu akhirnya terletak pada MOF Inc sebagai pemilik Felcra.
Low: Adakah anda setuju bahawa salah satu langkah penilaian wajar adalah membuat perbandingan cadangan Public Mutual dengan cadangan lain?
Bung: Saya pasti MOF Inc membuat penilaian wajar selama tiga bulan, termasuk dengan memanggil Norhaili untuk memastikan pelaburan itu menguntungkan.
Low: Tiada syarikat lain dijemput untuk buat pembentangan (dalam mesyuarat lembaga)?
Bung: Hanya Public Mutual dijemput untuk buat pembentangan.
Low: Tiada syarikat lain dijemput walaupun selepas mesyuarat itu?
Bung: Mungkin mereka tidak berminat.
Low: Jika lembaga pengarah Felcra mahu membuat keputusan tepat, bukankah syarikat lain patut dijemput mengemukakan cadangan pelaburan mereka?
Bung: Saya tidak setuju kerana syarikat kami (Felcra) tidak mencari firma pelaburan. Mereka yang perlu cari kami.
Bung berdepan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ketua Umno Sabah itu didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Beliau juga berdepan pertuduhan berasingan menerima RM337,500 daripada Norhaili atas nama Zizie di bank sama pada 19 Jun 2015.
Zizie pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung dalam pelaksanaan kesalahan yang didakwa itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad akan bersambung pada Jumaat.