Penguatkuasaan lemah buka ruang komen prejudis, kata peguam

Penguatkuasaan lemah buka ruang komen prejudis, kata peguam

Ada undang-undang terhadap perbicaraan di media sosial tetapi tindakan hanya diambil bila kerosakan sudah berlaku, kata Peguam jenayah Goh Cia Yee.

people using handphone
Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh beri amaran perkembangan pesat media sosial dan kebebasan bersuara dalam era digital mencabar peranan institusi kehakiman. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Langkah untuk membendung komen dalam talian yang berpotensi memprejudiskan kes mahkamah lazimnya bersifat berhati-hati dan reaktif, menyebabkan naratif awam terbentuk lama sebelum mahkamah sempat campur tangan, kata seorang peguam.

Walaupun terdapat peruntukan untuk mengekang perbicaraan melalui media sosial di bawah prinsip menghina mahkamah dan Akta Komunikasi dan Multimedia, peguam jenayah Goh Cia Yee berkata tindakan sedemikian selalunya hanya diambil selepas kerosakan telah pun berlaku.

“Dalam era media sosial, sukar untuk kes berprofil tinggi atau pun yang tular diputuskan tanpa naratif awam yang kuat berlegar terlebih dahulu,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas amaran Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh bahawa perkembangan pesat penggunaan media sosial, digabungkan dengan kebebasan bersuara dalam era digital, menimbulkan cabaran besar kepada institusi kehakiman.

Wan Ahmad Farid berkata masyarakat sering ‘menghakimi’ kes dalam ruang siber sebelum keputusan mahkamah dibuat.

Beliau berkata fenomena ‘mahkamah siber’ atau perbicaraan melalui media sosial semakin ketara, apabila warganet membuat andaian, melabel dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, hakim serta pihak terlibat tanpa mengetahui fakta sebenar sesuatu kes.

Tindakan sedemikian, katanya, adalah berbahaya dan boleh menjejaskan keadilan.

Goh berkata pendapat awam sering terbentuk sebelum keterangan diuji di mahkamah, sekali gus mengalihkan tumpuan daripada pembuktian kepada persepsi.

“Apabila tindakan diambil, naratif dalam talian mungkin sudah pun berakar umbi dan sukar untuk dipulihkan,” katanya.

Menurut Goh, usaha yang lebih baik perlu diperkenalkan bagi memelihara perbincangan awam yang sah. Beliau merujuk contoh United Kingdom dan Australia yang mempunyai rangka kerja jelas untuk ulasan dalam talian.

Di UK, Akta Menghina Mahkamah 1981 menjadikan penerbitan yang mewujudkan risiko besar prejudis serius sebagai kesalahan jenayah, manakala badan kehakiman turut mengeluarkan panduan awam kepada media dan pengguna media sosial mengenai ulasan yang dibenarkan.

Di Australia, common law dan peraturan negeri mengawal penerbitan, dan badan pembaharuan sedang giat membangunkan panduan statutori yang lebih jelas.

“Langkah-langkah ini termasuk arahan kehakiman awal, sekatan pelaporan dan nasihat awam bagi mencegah hantaran yang menjejaskan perbicaraan, sambil mengekalkan perbincangan yang sah.

“Malaysia boleh mempertimbangkan panduan serupa bagi memastikan perbicaraan adil tanpa mengekang wacana terbuka,” katanya.

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir, turut bersetuju bahawa publisiti berlebihan, spekulasi atau persepsi palsu berkaitan kes yang masih berjalan boleh menjejaskan perbicaraan adil dan mengundang tindakan menghina mahkamah.

Salim berkata hakim juga perlu melindungi diri daripada tekanan dan membuat keputusan berasaskan undang-undang serta keterangan semata-mata, tanpa dipengaruhi laporan atau ulasan media.

“Kebebasan media amat penting sebagai semak dan imbang dalam negara demokrasi, namun kebebasan bersuara mesti kekal dalam batas yang dibenarkan undang-undang,” katanya kepada FMT.

“Kita tidak boleh membenarkan naratif media menguasai keputusan undang-undang… mahkamah hanya perlu memutuskan berdasarkan undang-undang dan keterangan yang dikemukakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.