
Remaja itu yang mahu dikenali sebagai Daniel, ditahan pada 15 Nov di rumah datuknya di Banting.
Menurutnya, pegawai polis memasuki rumah tersebut dengan alasan ingin mendapatkan bantuan membaiki motosikal mereka. Namun sebaik sahaja masuk, tiga lelaki itu memperkenalkan diri sebagai polis dan dikatakan telah memukul Daniel sehingga dia mengaku terlibat dalam kes rompakan.
Daniel berkata, dia dipukul berulang kali, termasuk ketika tidak sedarkan diri di dalam kereta polis.
Dia juga mendakwa pegawai terbabit menggunakan puntung rokok dan pemetik api untuk membakar bibir dan alat sulitnya.
“Dia sedang merokok, kemudian mengambil rokok itu dan menekan ke bibir saya. Dia juga menggunakan pemetik api untuk membakar bahagian sulit saya,” kata Daniel pada sidang media.
Laporan perubatan mengesahkan ada kecederaan tisu lembut serta luka bakar pada bibirnya.
Bagaimanapun, polis menafikan sebarang salah laku dan menyatakan ia adalah kes salah identiti, lalu menutup kes itu.
Pada sidang media itu, peguam Latheefa Koya, Rajesh Nagarajan, Mahajoth Singh dan Yu Ying Ying turut menunjukkan rakaman CCTV yang menunjukkan Daniel diserang di rumah datuknya.
“Tanpa sebarang amaran, dia terus dipukul, ditendang, dipukul dengan penumbuk dan ditampar berkali-kali.
“Ini adalah kes salah identiti. Polis sendiri mengakui mereka tersilap orang,” kata Latheefa.