Aktivis anti hukuman mati Singapura, M Ravi meninggal dunia

Aktivis anti hukuman mati Singapura, M Ravi meninggal dunia

Punca kematian bekas peguam berusia 56 tahun itu belum lagi didedahkan.

m ravi
M Ravi mewakili dua warga Malaysia yang didapati bersalah kerana menyeludup dadah ke Singapura. Mendiang juga terkenal dengan perjuangan hak asasi manusia. (Gambar MRAVILaw)
PETALING JAYA:
Bekas peguam M Ravi, yang terkenal kerana mewakili banduan hukuman mati di Singapura serta perjuangannya untuk memansuhkan hukuman mati, meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Menurut saluran berita CNA, kematian Ravi disahkan oleh rakan-rakannya hari ini tetapi punca kematian beliau masih belum didedahkan.

Dilahirkan pada 1969, Ravi berkhidmat sebagai peguam selama lebih 25 tahun. Beliau merupakan graduan Universiti Nasional Singapura dan Universiti Cardiff sebelum diterima masuk ke Badan Peguam pada 1996, menurut Encyclopaedia of Singapore Tamils.

Beliau menerbitkan autobiografi berjudul Kampong Boy pada 2013, yang disenarai pendek bagi Hadiah Sastera Singapura pada 2014.

Pada 2015, Ravi bertanding dalam pilihan raya umum Singapura sebagai sebahagian daripada pasukan Parti Reformasi yang bertanding di GRC Ang Mo Kio.

Ravi menubuhkan firma guamannya sendiri, M Ravi Law, pada 2019. Selain menyokong pemansuhan hukuman mati, beliau juga penyokong hak komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ).

Pada 2023, beliau diiktiraf oleh Badan Peguam Antarabangsa atas kerja-kerja hak asasi manusia, khususnya advokasinya bagi penyahjenayahan homoseksualiti dan pemansuhan hukuman mati di Singapura.

Ravi juga terlibat membantu dalam kes Nagaenthran K Dharmalingam, seorang rakyat Malaysia yang didapati bersalah menyeludup 42.7g heroin ke republik itu dan dihukum mati pada April 2022.

Terbaharu, beliau memperjuangkan kes K Datchinamurthy, yang dihukum mati di Singapura pada 25 Sept tahun ini kerana menyeludup 44.96g diamorfin.

Ravi juga bergelut dengan gangguan bipolar, yang menjadi antara punca beliau berdepan dengan beberapa tindakan undang-undang. Ravi didenda kerana kelakuan tidak tertib pada 2004 dan dikenakan perintah rawatan mandatori bagi menangani gangguan itu pada 2018.

Pada 2023, beliau digantung daripada mengamalkan undang-undang selama lima tahun kerana membuat tuduhan serius dan tidak berasas mengenai salah laku terhadap peguam negara Singapura, pegawai dari Pejabat Peguam Negara serta Persatuan Undang-Undang Singapura.

Ravi pernah dihukum penjara 14 minggu pada 2024 atas beberapa kesalahan, dan akhirnya dibuang daripada profesion guaman pada Mei 2024 oleh Mahkamah Tinggi Singapura susulan permohonan Persatuan Undang-Undang berhubung kenyataan yang dibuatnya mengenai bekas presiden Halimah Yacob.

Sementara itu, Peguam Eugene Thuraisingam berkata Ravi seorang yang komited terhadap kerja-kerja pro bono dan beliau teguh mempertahankan apa yang diperjuangkannya di mahkamah.

“Beliau benar-benar mengambil berat tentang anak guamnya. Beliau seorang rakan dan akan sangat dirindui oleh seluruh warga profesion guaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.