Tiada hubungan formal dengan MAP, Urimai, tegas ketua ulama PAS

Tiada hubungan formal dengan MAP, Urimai, tegas ketua ulama PAS

Ahmad Yahaya berkata hubungan longgar libat P Waytha Moorthy dan P Ramasamy sekadar berlegar isu umum berkaitan kepentingan rakyat.

Ahmad Yahaya
Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya, berkata dakwaan parti gadai prinsip bekerjasama dengan MAP dan Urimai hanya naratif parti lawan.
ALOR SETAR:
PAS menegaskan tiada hubungan formal dengan pemimpin Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy, dan Presiden Urimai P Ramasamy, kata Ketua Dewan Ulama Ahmad Yahaya.

Katanya, gabungan longgar pembangkang yang turut melibatkan keduanya diketuai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, tertumpu isu umum berkaitan kepentingan rakyat.

“Saya kira itu bukan satu ikatan (politik) atau kerjasama yang tetap, ia lebih bersifat menangani isu-isu semasa itu sahaja. Contohnya, adakan pertemuan berkaitan kos sara hidup rakyat.

“Kerjasama itu selagi tak ganggu perjalanan PAS dan kerjasama (politik) dalam PN, tak ada masalah. Kalau ada orang kritik kata PAS gadai prinsip bila kerjasama (dengan Waytha Moorthy dan Ramasamy), saya kira itu hanya naratif lawan sahaja,” katanya ketika ditemui media sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS ke-64 di Maahad Darul Hadis.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, berkata parti-parti pembangkang akan membentuk satu gabungan untuk ‘mencari salah kerajaan’ dan memperjuangkan isu rakyat, termasuk janji reformasi yang didakwa gagal diselesaikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Gabungan tersebut terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), dan Urimai.

Waytha Moorthy dan P Ramasamy antara individu yang sebelum ini lantang mengkritik PAS.

Susulan kerjasama itu, pemimpin Umno mendakwa PAS sanggup mengorbankan prinsip perjuangan asal demi kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.