
Ketua Polis Hulu Terengganu, Sharudin Abdul Wahab, berkata hasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme yang menerima rawatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDPK) Kuala Berang.
Beliau berkata, kanak-kanak itu keluar dari PDPK tanpa disedari sebelum ditemui orang awam sedang berjalan di tepi jalan utama.
“Pihak PDPK menggunakan kaedah terapi mengikat tangan bagi melatihnya duduk diam semasa makan dan dipersetujui ibunya.
“Bagaimanapun, kanak-kanak itu telah keluar tanpa disedari selepas pintu dibuka kanak-kanak lain,” katanya dalam kenyataan.
Sharudin berkata, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu dan ibu mangsa turut membuat penafian bagi menolak spekulasi berhubung dakwaan penculikan yang tular di media sosial.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan gambar atau video kanak-kanak terbabit demi menjaga nama baik keluarga mangsa serta institusi berkaitan.
Terdahulu, tular rakaman berdurasi 30 saat di platform media sosial yang meminta orang ramai berhati-hati kerana dipercayai berlaku kes culik di Kuala Berang.