Rempuh motosikal, mangsa putus kaki; pemandu kereta ditahan

Rempuh motosikal, mangsa putus kaki; pemandu kereta ditahan

Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu kereta gagal mematuhi lampu isyarat merah.

kemalangan jalan sultan ismail
Tangkap layar video tular memaparkan kejadian di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan polis susulan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua buah motosikal di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu kereta gagal mematuhi lampu isyarat merah, menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zamzuri Isa, berkata kemalangan berlaku di Jalan Sultan Ismail sekitar 4.27 pagi, ketika penunggang motosikal sedang melintasi persimpangan ketika lampu isyarat hijau.

Namun, sebuah kereta dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh dua motosikal tersebut.

Kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan serius. Mangsa berusia 24 tahun putus kaki kiri manakala mangsa berusia 19 tahun patah tangan kiri dan kaki kiri.

Pemandu kereta berusia 25 tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan di tangan, manakala seorang penumpang mengalami cedera di kepala.

Pemandu kereta ditahan di sebuah klinik di Rawang semasa sedang mendapatkan rawatan.

Ujian mendapati alkohol tidak melebihi had ditetapkan, manakala saringan air kencing sedang dijalankan di IPD Dang Wangi.

Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan, iaitu berkenaan memandu secara melulu dan membahayakan.

Video kejadian tular di platform Threads.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.