
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dari 4 petang Isnin hingga 9 pagi semalam itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai bernilai RM3.43 juta.
Beliau berkata operasi tersebut dilaksanakan hasil maklumat risikan yang membawa kepada penemuan sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki di kawasan parkir di Lebuh Macallum sebelum suspek membawa polis ke sebuah kediaman yang dijadikan makmal memproses dadah sindiket tersebut.
“Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis merampas dadah MDMA sebanyak 22kg, ketamin (133g), ganja (38 g), 294 biji pil ekstasi dan 40 biji pil erimin 5 serta pelbagai peralatan untuk proses dadah,” katanya dalam kenyataan.
Azizee berkata serbuan susulan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang dipercayai pasangan kekasih di lokasi berasingan dan kedua-duanya disyaki terlibat sebagai rakan sejenayah dalam sindiket tersebut.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan sejak Oktober tahun lepas dengan pengedaran dadah tertumpu kepada pasaran tempatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif methamphetamine dan amphetamine, selain mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
“Polis turut menyita pelbagai aset termasuk tiga kenderaan, barang kemas dan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM34,940.80 dengan keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM3.46 juta,” katanya.
Azizee berkata suspek pertama bekerja sebagai buruh, suspek wanita pula merupakan tukang urut manakala suspek ketiga tidak berkerja tetapi dipercayai ketua sindiket tersebut.
Beliau memaklumkan semua mereka yang berusia antara 33 hingga 48 tahun itu kini direman hingga 6 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.