Polis mahu sambung reman berkait kandungan TikTok

Polis mahu sambung reman berkait kandungan TikTok

Tiga individu ditahan berhubung penyebaran kandungan yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, kata polis akan buat permohonan sambung reman terhadap tiga individu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis akan membuat permohonan sambung reman terhadap tiga individu berhubung penyebaran kandungan melalui TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, ketua polis Johor dan perdana menteri.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata permohonan itu bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut terhadap tiga individu itu, berumur antara 17 hingga 49 tahun yang ditahan reman selama empat hari bermula 31 Mac.

“Reman terhadap ketiga-tiga individu akan tamat esok. Polis akan membuat permohonan sambung reman esok.

“Permohonan itu bagi melengkapkan siasatan pihak polis di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di IPK Johor.

Siasatan awal mendapati individu terbabit merupakan ahli keluarga, terdiri daripada seorang wanita yang mengaku sebagai ‘Ratu Nur Puteri Balqis’, anaknya berusia 17 tahun serta abang wanita itu.

“Mereka tidak bekerja dan remaja terbabit tidak bersekolah. Setakat ini, polis akan mohon reman dalam tiga atau empat hari lagi, namun bergantung pada pihak mahkamah.

“Berhubung kesihatan mental individu berkenaan, saya tidak dapat mengesahkan statusnya, tetapi selepas siasatan dijalankan, ia bergantung pada arahan pihak mahkamah sama ada mereka perlu dirujuk kepada jabatan psikiatrik hospital atau tidak.

“Setakat ini, polis mengesahkan tiada pengikut kepada ajaran individu terbabit,” katanya.

Pada Selasa lepas, media melaporkan tiga individu termasuk remaja berumur 17 tahun ditahan di Taman Saujana, bagi membantu siasatan.

Polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mengesan satu video dimuat naik pemilik akaun ‘ratunurputeribalqis’ yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah terbabit, Ahad lepas.

Antara kandungan dalam hantaran itu ialah dakwaan Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor serta perdana menteri mendapat nasihat daripada pemilik akaun berkenaan dalam penyediaan teks ucapan.

Selain itu, kandungan terbabit memaparkan fitnah kononnya Sultan Johor menyimpan dokumen pengenalan diri pemilik akaun berkenaan bagi tujuan tertentu berkaitan ajaran yang dibawanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.