
Mendedahkan perkara itu, Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor (PKTTS), S Maran, berkata siasatan pihaknya mendapati kebanyakan penghuni di premis berkenaan bukan anak yatim sepenuhnya, sebaliknya mempunyai ibu bapa atau penjaga.
Katanya, ada dalam kalangan ibu bapa hanya menghantar anak ke pusat berkenaan atas faktor kesempitan hidup atau masalah keluarga, namun gagal memantau perkembangan mereka selepas itu.
“Dari luar nampak semuanya terurus, anak-anak makan, tidur seperti biasa tetapi sebaliknya ada perkara berlaku tanpa pengetahuan ibu bapa.
“Ibu bapa hantar anak dan serahkan sepenuhnya tanggungjawab, tetapi tidak datang memantau secara kerap atau menyemak keadaan sebenar,” katanya ditemui FMT, semalam.
Kes itu terbongkar selepas dua bekas penghuni yang kini berusia 18 tahun menceritakan ‘mimpi ngeri’ mereka selepas perubahan kelakuan disedari penjaga.
Maran berkata, PKTTS kemudian menjalankan lawatan ke premis berkenaan dengan inisiatif sendiri bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada pemilik dan penghuni.
Katanya, hasil perbualan dengan kanak-kanak di situ menyebabkan mereka mula ‘membuka mulut’ dan mendedahkan kejadian dihadapi.
“Saya terus ke balai polis pada 29 Mac untuk membuat laporan selepas mendapatkan maklumat,” katanya.
Beliau mendakwa, setakat ini sekurang-kurangnya 20 penghuni lelaki berusia 9 hingga 17 tahun dipercayai menjadi mangsa gangguan seksual oleh beberapa individu yang juga pemilik premis dan pekerja.
“Setakat ini tujuh mangsa yang dibawa ke hospital disahkan mengalami kecederaan termasuk luka lama dan baharu, yang dipercayai konsisten dengan penderaan yang berlaku,” katanya.
PKTTS juga mendedahkan, premis itu dipercayai beroperasi hampir 10 tahun dan tidak berdaftar, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pusat kebajikan beroperasi secara persendirian.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, mengesahkan beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek telah ditahan dan siasatan masih dijalankan,” katanya menurut New Straits Times.