Wanita didakwa laku kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak

Wanita didakwa laku kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak

Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, ditahan pada 31 Ogos lalu ketika cuba mendekati Sultan Nazrin di pentas utama ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang.

Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, kira-kira 8.20 pagi, 31 Ogos lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan kecederaan parah itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan tiada pengakuan akan direkodkan memandangkan laporan awal dari Hospital Bahagia Ulu Kinta mengesahkan tertuduh menghidap skizofrenia.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah untuk mendapatkan penilaian psikiatri lanjut bagi menentukan keadaan mentalnya dan kesesuaian untuk diadili,” katanya.

Tertuduh diwakili peguam M Saravanan, tidak membantah permohonan berkenaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri lanjut bagi mendapatkan laporan penuh sebelum prosiding diteruskan.

Mohd Harith berkata, mahkamah tidak akan menawarkan jaminan dan memerintahkan tertuduh kekal menerima rawatan di hospital.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada pada 8 Oktober ini.

Nurhaswani dilaporkan ditahan pada 31 Ogos lalu ketika cuba mendekati Sultan Nazrin di pentas utama ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.