Penganggur didakwa bunuh ibu saudara

Penganggur didakwa bunuh ibu saudara

Tertuduh, Lee Hao Yi, 21, didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 pagi pada 6 November hingga 8.25 pagi 10 November lalu.

lee hao yi
Lee Hao Yi, 21, didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya di Taman Puteri Lindungan Bintang minggu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Barat 25, Taman Puteri Lindungan Bintang, minggu lalu.

Tertuduh, Lee Hao Yi, 21, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Siti Nora Shariff.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ibu saudaranya, Lee Huey Ting, 54, antara 1 pagi pada 6 November hingga 8.25 pagi 10 November lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Nora menetapkan 18 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes.

Media pada Isnin lalu mengenai penemuan mayat wanita di sebuah rumah di Ipoh dipercayai maut akibat ditumbuk berkali-kali oleh anak saudaranya yang hilang sabar kerana sering dikongkong.

Susulan itu, polis menahan anak saudaranya bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.