
Tertuduh Azrul Afiq Adzelan Ahmad, 25, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 21 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan pada jam lebih kurang jam 12.15 tengah malam, 10 Feb lalu.
Peniaga minyak wangi itu didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua dari hukuman tersebut.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh meraba bahagian punggung mangsa semasa berada dalam kedai serbaneka dan melarikan diri di ke tandas sebelum ditahan.
Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki tiga video lucah dalam telefon bimbitnya jenis iPhone 16 Pro, kira-kira jam 5 Petang di lokap Balai Polis Nilai, 10 Feb lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh didakwa di bawah akta sama, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh manakala peguam Ng Yunn Yiing dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman denda paling rendah atas alasan tertuduh bakal berkahwin pada 25 Feb ini.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Nurul Saqinah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 kesalahan mencabul kehormatan atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar denda.
Bagi tuduhan mencabul pula, Nurul Saqinah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dan mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.