Lelaki Kemboja didenda RM900 guna kekerasan, kata kesat pada petugas Batik Air

Lelaki Kemboja didenda RM900 guna kekerasan, kata kesat pada petugas Batik Air

Lin Weida didakwa melakukan kesalahan itu Bangunan Satelit KLIA dan dalam penerbangan dari Hong Kong ke KLIA Terminal 1.

Lin Weida
Lin Weida mengaku salah di Mahkamah Majistret Sepang guna kekerasan jenayah dan keluar kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan Batik Air pada 28 Sept lalu. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Seorang lelaki warga Kemboja didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan pada 28 Sept lepas.

Majistret Khairatul Animah Jelani membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah Lin Weida, 42, setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Ejen pelancongan itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai keselamatan Batik Air di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.50 malam 28 Sept.

Dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan ini, Khairatul Animah mengenakan hukuman denda RM800 atau penjara sebulan.

Weida juga didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang kru kabin Batik Air pada hari sama kira-kira 5.20 petang dalam penerbangan OD606 dari Hong Kong ke KLIA Terminal 1.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 dan bagi kesalahan ini, mahkamah mengenakan hukuman denda RM100 atau penjara sebulan.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya bagi kedua-dua kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam M Sivam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.