
Majistret Harith Mazlan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memaklumkan laporan daripada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan menyatakan Nurshazwani Afni Mohamad Zorki, 41, menghidap skizofrenia dan tidak waras semasa kejadian.
“Pada masa ini, tertuduh telah diberi rawatan dan stabil. Tertuduh boleh dibicarakan dan memberikan pembelaan,” kata Nasrul pada prosiding sebutan semula, lapor Bernama.
Nurshazwani didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 8.20 pagi, 31 Ogos lepas.
Wanita itu didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin serta diarahkan melapor diri di Balai Polis Pusat Ipoh sebulan sekali pada setiap Isnin.
Mahkamah menetapkan 8 Dis untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Pada 8 Sept lepas, Nurshazwani dihadapkan ke mahkamah sama namun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan, mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Pada sambutan Hari Kebangsaan Ogos lepas, seorang wanita ditahan kerana menceroboh pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin di pentas utama, ketika lagu kebesaran negeri berkumandang.