
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, jika wujud elemen kecuaian, kertas siasatan tatatertib akan dibuka bagi memberi ruang siasatan menyeluruh dijalankan sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata, pihaknya kini meneliti resolusi jangka pendek dan panjang dari sudut pentadbiran.
“Sehingga kini juga kesemua anggota dan pegawai terlibat masih bertugas seperti biasa. Satu mesyuarat bersama pihak istana akan diadakan esok bagi membincangkan tindakan susulan berhubung kejadian itu,” katanya, lapor Buletin TV3.
Terdahulu, seorang wanita tempatan direman tiga hari selepas melepasi kawalan keselamatan dan menghampiri Sultan Nazrin di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Perak di Ipoh semalam.
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perintah reman dikeluarkan bermula hari ini hingga Rabu.
Hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, namun ujian saringan air kencingnya didapati negatif.
Dia juga didapati pernah menerima rawatan psikiatri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.