400 ditahan di Bangsar South dipercayai sindiket penipuan pusat panggilan

400 ditahan di Bangsar South dipercayai sindiket penipuan pusat panggilan

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata satu sidang media khas mengenai serbuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Dilaporkan, 400 yang ditahan itu terdiri daripada lelaki dan wanita, membabitkan rakyat tempatan serta warga asing. (Gambar China Press)
PETALING JAYA:
Polis menahan 400 individu yang didakwa terbabit dengan sindiket penipuan pusat panggilan susulan serbuan besar-besaran di sebuah pejabat di Bangsar South, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Ketua polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mengesahkan serbuan dan tangkapan itu namun enggan mengulas lanjut ketika ditanya wartawan pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.

“Siasatan masih berjalan memandangkan tangkapan dilakukan begitu ramai. Satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Dilaporkan, 400 yang ditahan itu terdiri daripada lelaki dan wanita, membabitkan rakyat tempatan serta warga asing.

Sindiket berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penipuan dalam talian dan perjudian.

Polis dilaporkan menyerbu lima tingkat sebuah bangunan komersial di Bangsar South yang dijadikan sebagai pusat panggilan.

Terdapat kehadiran polis yang ramai di lokasi, dengan tahanan dibawa secara berperingkat menaiki tujuh trak polis untuk disoal siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.