Penganggur dijel 5 tahun bakar lori tunda MBJB

Penganggur dijel 5 tahun bakar lori tunda MBJB

Wan Muhammad Nasrul W Ahmad mengaku membakar lori tunda MBJB kerana marah keretanya ditarik.

Wan Nasrul Wan Ahmad
Mahkamah Sesyen Johor Bahru memerintah tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar RM6,000. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM6,000 terhadap seorang penganggur mengaku bersalah membakar lori tunda Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Jumaat lalu.

Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok turut memerintahkan Wan Muhammad Nasrul W Ahmad, 31, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh dibawa ke mahkamah semula hari ini bagi mendengar hukuman terhadapnya selepas hakim menangguhkan prosiding semalam bagi membolehkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu dimainkan di mahkamah.

Semalam, tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat menggunakan petrol, dengan membakar lori tunda MBJB sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM24,000 di Depoh Simpanan Kenderaan, Lot 1, Johor Bahru Waterfront pada 11.07 pagi Jumaat lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula hari ini.

Tertuduh mengaku membakar lori tunda itu kerana marah keretanya ditarik.

“Saya dah minta pengecualian daripada RM500 jadi RM250, kalau RM200 pun saya tak ada duit nak bayar.

“Saya orang susah, banyak komitmen yang saya perlu tanggung. Hutang banyak, kereta, motosikal dan rumah. Saya belum kahwin, saya baru nak mulakan kerja,” katanya menurut Harian Metro ketika membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu memohon hukuman sewajarnya diberikan memandangkan perbuatan tertuduh itu kesalahan serius yang boleh menjejaskan keselamatan bukan saja harta benda, tetapi orang awam serta kakitangan Depoh Simpanan Kenderaan MBJB.

“MBJB sudah menggunakan budi bicara untuk memberikan pengurangan kompaun, tetapi tertuduh masih melakukan jenayah serius ini. Pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.