
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memerintahkan Hasbullah Hassan, 46, dipenjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama (memberi sokongan) dan enam tahun penjara untuk pertuduhan kedua yang berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 30 Mei 2024.
Tertuduh didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara mempromosikan kumpulan itu menerusi aplikasi media sosial Facebook di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara Dua Ibu Pejabat Polis, Kuala Lumpur pada 9 pagi, 23 Mac 2023.
Pertuduhan itu mengikut Perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda dan harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Hasbullah didakwa memiliki 143 gambar dan tiga video dalam dua telefon bimbit yang merupakan barang yang mempunyai kaitan dengan Daesh serta sebentuk cincin yang mengandungi logo kumpulan pengganas itu di Felda Palong Timur Tiga, Batu Anam, Segamat, Johor pada 12.30 tengah hari, 30 Mei 2024.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucut hak mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan polis mendapati sembilan akaun media sosial Facebook telah digunakan tertuduh untuk mempromosikan kumpulan pengganas Daesh dengan membuat hantaran, gambar dan video berkaitan kumpulan tersebut.
Selain itu, dua telefon bimbit milik tertuduh juga mempunyai kaitan dengan keganasan, ekstremisme dan terrorisme yang berhubung kait dengan kumpulan pengganas itu
Timbalan Pendakwa Raya Nur Ainaa Ridzwan memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira kesalahan serius dilakukannya yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan negara.
Bagaimanapun, peguam Wan Muhamad Yusuf W Hussin memohon supaya hukuman penjara terhadap anak guamnya berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap kerana dia telah insaf dan menyesal dengan perbuatannya.