Penganggur mengaku tak salah amang seksual remaja di PPS

Penganggur mengaku tak salah amang seksual remaja di PPS

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan 16 tahun di PPS sebuah sekolah di Jelawat pada 26 Nov lalu.

mahkamah kota bharu
Mahkamah Sesyen Kota Bharu menetapkan sebutan semula kes 8 Dis ini selepas timbalan pendakwa raya tidak menawarkan ikat jamin dan memaklumkan tertuduh mempunyai rekod kes rogol sedang dibicarakan.
PETALING JAYA:
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja 16 tahun di pusat pemindahan banjir (PPS) di sebuah sekolah di Jelawat, Bachok, bulan lalu.

Harian Metro melaporkan Mohamad Ilfam Mohammad Noor, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan 16 tahun di PPS di Jelawat pada 11 pagi 26 Nov lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan tidak menawarkan ikat jamin dan memaklumkan tertuduh yang tidak diwakili peguam mempunyai rekod kes rogol sedang dibicarakan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 8 Dis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.