
Ketua Polis Klang Selatan, Ramli Kasa, berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Isnin, lelaki 28 tahun itu menunggang motosikal secara melulu dan bergesel dengan Toyota Rush dipandu lelaki tempatan berusia 55 tahun.
Menurutnya, pengadu berhenti untuk memeriksa keretanya, sebelum berlaku pertengkaran mulut dengan suspek.
“Suspek bertindak agresif dengan membaling tin minuman keras ke arah pengadu yang sempat mengelak. Pengadu kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
“Sebaik menyedari kehadiran kereta peronda polis, suspek cuba melarikan diri dengan motosikalnya dan hampir melanggar pengadu,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, berlaku pergelutan ketika tangkapan, dengan suspek menumbuk seorang anggota polis di bahagian muka.
Katanya, suspek berjaya ditahan dan motosikalnya dirampas untuk disiasat mengikut Seksyen 279 serta 353 Kanun Keseksaan kerana menunggang motosikal secara gopoh atau cuai dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.
Ramli berkata, suspek yang tidak bekerja mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan kini direman tiga hari.
“Pegawai penyiasat dalam proses melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.”
Beliau menggesa orang ramai mempunyai maklumat berkaitan tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan 03-3376 2222 bagi membantu siasatan.