
Pada Ogos lepas, sebanyak 520,000 orang yang menganggur.
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi ekonomi yang memberangsangkan telah membantu mengukuhkan tenaga buruh Malaysia pada September, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, pengurangan dalam pengangguran, dan peluasan pembangunan serantau yang inklusif.
“Sejajar dengan itu, tenaga buruh terus berkembang dengan peningkatan 0.2% kepada 17.54 juta orang berbanding 17.51 juta orang pada Ogos. Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.9%, tidak berubah daripada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bilangan penduduk bekerja pada September meningkat sebanyak 0.2% kepada 17.03 juta orang berbanding 16.99 juta orang pada Ogos.
Uzir berkata kategori pekerja merangkumi 74.9% daripada jumlah penduduk bekerja dan kumpulan ini meningkat sebanyak 0.1% kepada 12.74 juta orang berbanding 12.73 juta orang pada bulan sebelumnya.
Selain itu katanya, bilangan penduduk bekerja sendiri naik 0.4% kepada 3.24 juta orang berbanding 3.22 juta orang pada Ogos.
Mengulas lanjut tentang landskap pengangguran, beliau berkata mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.8% daripada jumlah penganggur.
“Kategori ini merekodkan penurunan 0.3% dengan bilangan menurun kepada 413,600 orang berbanding 414,900 orang pada bulan sebelumnya. Dalam kumpulan ini, mereka yang mengganggur kurang tiga bulan meliputi 64.6%, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 4.9%,” katanya.
Mengulas prestasi keseluruhan pada suku tahun (ST) ketiga 2025, Uzir berkata tenaga buruh meningkat sebanyak 0.7%, merekodkan sebanyak 17.49 juta orang berbanding 17.37 juta orang pada suku tahun kedua 2025.
KPTB katanya, naik 0.1 mata % kepada 70.9% berbanding 70.8% pada suku tahun sebelumnya.
“Seiring dengan trend peningkatan ini, bilangan penduduk bekerja turut bertambah 0.7% kepada 16.97 juta orang (ST2 2025: 16.85 juta orang), manakala bilangan penganggur menurun sebanyak 0.2%kepada 519,900 orang (ST2 2025: 520,900 orang),” katanya.