
Bagaimanapun, Zahid yang juga presiden Umno berkata tidak ada perundingan secara langsung antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam soal agihan kerusi, lapor Berita Harian.
“Yang dimuktamadkan ialah (kerusi) BN dengan PH dan kita menghormati (kerjasama) PH-GRS. Tidak ada perundingan secara langsung antara BN dengan GRS, tidak ada. Jadi, setakat itu sahaja,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Zahid juga menjangkakan banyak kerusi bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru kerana terlalu banyak parti baharu di Sabah berhasrat untuk bertanding.
“Jadi ‘the more the merrier’ (lebih banyak lebih meriah). Itu terpulang kerana itu landskap politik di Sabah. (Yang pasti) BN-PH tidak ada pertindihan kerusi dan itu kita telah muktamad,” katanya.
PH telah mencapai perjanjian berasingan dengan GRS dan BN, meskipun kedua-dua gabungan itu (GRS dan BN) enggan bekerjasama walaupun selepas didesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
BN Sabah sebelum ini berkata sebarang bentuk kerjasama dengan GRS hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan PRN, yang perlu diadakan selewat-lewatnya Januari 2026.
PH merupakan sekutu GRS dalam kerajaan negeri manakala BN bersama Warisan berada di blok pembangkang.