
Ketua Pembangkang Takiyuddin Hassan menyelar insiden terbabit sebagai ‘tidak boleh diterima sama sekali’ di mana anak Rafizi diseret dan dicucuk dengan jarum suntikan oleh penyerang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga berkata PN mengambil maklum kenyataan Rafizi bahawa serangan itu bertujuan sebagai amaran untuk beliau berhenti bersuara dalam isu tertentu.
“Jika ini benar, ia mewakili perkembangan politik samseng yang mengganggu, yang menimbulkan ancaman serius kepada landskap demokrasi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
“Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya membawa kepada ancaman atau keganasan fizikal, terutamanya apabila kanak-kanak terlibat.
“Penjenayah mesti dibawa ke muka pengadilan dan menghadapi tindakan undang-undang yang tegas sebagai mesej jelas bahawa sebarang bentuk keganasan, terutamanya terhadap kanak-kanak, tidak ada ruang di Malaysia.”
Sambil menyatakan sokongan moral PN terhadap Rafizi dan keluarganya, Takiyuddin berkata PN turut mendoakan agar anak Rafizi pulih sepenuhnya.
Beliau menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi atau spekulasi yang mungkin sengaja dicipta untuk memecahbelahkan masyarakat akibat serangan itu.
“Keamanan dan kestabilan negara adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar semalam berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada 2 petang di kawasan parkir pusat beli-belah itu.