Idea parti progresif baharu menarik, tapi sukar jadi kenyataan

Idea parti progresif baharu menarik, tapi sukar jadi kenyataan

Shahril Hamdan sifat beliau dan lima pemimpin lain disebut berbeza ketara dari segi personaliti dan ideologi.

SHAHRIL HAMDAN
Shahril Hamdan berkata, beliau, Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Khairy Jamaluddin ‘ada kepala masing-masing’ dan tidak dijamin sepakat dari segi ideologi.
PETALING JAYA:
Bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berpendapat cadangan supaya enam ahli politik muda dan progresif, termasuk dirinya, bergabung menubuhkan parti baharu adalah menarik, namun tidak realistik.

Katanya, hal ini kerana beliau dan lima pemimpin lain yang disebut, iaitu Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Khairy Jamaluddin mempunyai perbezaan ketara dari segi personaliti dan ideologi.

“Pandangan menarik tetapi ia tak akan berlaku sebab semua berkongsi sifat, iaitu ada kepala masing-masing dan tidak dijamin ada kesepakatan ideologi.

“Yang minat akan kata enam ini kelompok idealistik berprinsip. Yang tak minat akan tuduh ini degil, hipokrit dan sukar bekerja dalam pasukan. Terpulang pertimbangan masing-masing. Tapi yang pasti, semua punyai ‘roh’ bebas yang akan menyukarkan bergabung,” katanya kepada FMT.

Shahril mengulas cadangan kolumnis Tajuddin Rasdi supaya enam ahli politik tersebut, yang terpinggir daripada parti masing-masing, menubuhkan parti baharu bagi membawa semangat politik progresif Melayu yang mampu menyaingi naratif perkauman dan keagamaan sempit.

Mengulas lanjut, Shahril berkata kumpulan tersebut tidak berkongsi pangkalan penyokong yang sama, menjadikan usaha menubuhkan parti bersama lebih rumit.

“Yang suka Rafizi tak tentu suka Khairy dan sebaliknya. Yang suka Wan Fayhsal atas semangat Melayunya, tak tentu suka Nazmi yang lebih teknokratik,” katanya.

Sementara itu, Wan Fayhsal berpendapat cadangan tersebut bukan langkah bijak pada waktu ini, menyatakan ia berisiko akan memecahkan lagi undi Melayu.

“Saya fikir, kami dan semua yang kena pecat sebelum ni, masih lagi mahu berjuang dalam wadah yang kami masih lagi bersama, sama ada digantung atau dipecat. Jadi biarlah masa menentukan.

“Apabila masa benar-benar menubuhkan parti baru, ia akan tetap tiba. Tapi buat masa ini , semua yang dinamakan ini sedang berjuang dalam medan masing-masing,” katanya.

Pada Januari 2023, Umno menggantung keahlian Shahril selama enam tahun dan memecat Khairy, bekas ketua Pemuda, akibat pelanggaran disiplin parti ketika PRU15.

Beberapa tahun kemudian, pada Mei 2025, Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan dalam Jemaah Menteri. Keputusan drastik itu menyusuli kegagalan mereka pada pemilihan PKR apabila Rafizi gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden, manakala Nik Nazmi tewas dalam saingan merebut kerusi naib presiden.

Terbaru pada bulan lepas, Bersatu mengambil langkah tegas memecat Wan Saiful kerana melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti, serta menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal untuk satu penggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.