
Ketua Bersatu Kota Melaka Hishamuddin Karim, berkata PAS sebagai rakan utama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) mampu membantu meredakan ketegangan dalam Bersatu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan antara pemimpin dikenakan tindakan oleh Bersatu kerana didakwa melanggar perlembagaan dan kod etika parti.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga digantung atas sebab sama.
Wan Saiful berkata, dinamik semasa menunjukkan PAS kini menentukan hala tuju gabungan itu, dengan Wan Fayhsal pula menyatakan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin lebih sesuai memimpin PN kerana mendapat sokongan PAS.
Dalam kenyataan hari ini, Hishamuddin berkata kenyataan rasmi PAS akan membantu menjelaskan keadaan dalam Bersatu dan meredakan kekeliruan disebabkan tindakan beberapa individu yang didakwa menggunakan nama pemimpin PAS untuk mewajarkan tindakan mereka.
“Saya juga memohon kebijaksanaan PAS sebagai rakan utama PN untuk membantu meredakan kekeliruan ini,” katanya.
“Beberapa individu telah berulang kali menggunakan nama tokoh PAS bagi menjustifikasi tindakan yang bercanggah dengan disiplin parti.”
Hishamuddin juga mengucapkan penghargaan kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan kerana menyuarakan kebimbangan mengenai kestabilan Bersatu menjelang PRN Sabah.
“Kenyataan Takiyuddin Hassan wajar dihargai sebagai tanda keprihatinan rakan komponen dalam PN terhadap kestabilan BERSATU menjelang PRN Sabah.”
Semalam, Takiyuddin berkata isu dalaman Bersatu termasuk pemecatan beberapa pemimpinnya, menjejaskan Bersatu pada tahap tertentu, terutamanya ketika parti itu membuat persiapan untuk PRN Sabah.
Menurut Harian Metro, Takiyuddin berkata semua pihak dalam PN perlu mengekalkan kestabilan dan fokus terhadap matlamat sama.
Katanya, walaupun beliau tidak ada maklumat untuk mengulas pemecatan beberapa pemimpin Bersatu, namun sama ada pertubuhan atau parti politik, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan organisasi.
“Kita menyeru kepada rakan-rakan dalam PN, (bukan) hanya Bersatu kerana ada juga parti lain yang sedang berdepan beberapa isu dalaman.
“Ini bukanlah waktu yang sesuai untuk berdepan sebarang masalah, sebaliknya kita perlu menstabilkan kedudukan masing-masing dan berharap semua perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.