Serah kepada speaker, kata Takiyuddin berkait usul ke jawatankuasa Parlimen

Serah kepada speaker, kata Takiyuddin berkait usul ke jawatankuasa Parlimen

Ketua Whip PN berkata beliau diberi tempoh tujuh hari menjawab kenyataan kononnya anggota Maritim 'serbu' Masjid Rusila di Terengganu.

Takiyuddin Hassan
Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan, berkata isu dakwaan ‘serbuan’ dalam latihan Maritim dianggap ‘sudah selesai’ berikutan penjelasan dibuat Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
PETALING JAYA:
Takiyuddin Hassan mengesahkan akan menjawab usul merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan susulan dakwaan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ‘menyerbu’ Masjid Rusila di Terengganu minggu depan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu, berkata beliau diberi tempoh tujuh hari menjawab isu berkenaan.

“Saya akan serah jawapan kepada speaker Dewan Rakyat. Terpulang kepada speaker untuk memutuskan tindakan seterusnya,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu memetik Harian Metro.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata perkara itu sudah selesai berikutan penjelasan dibuat Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, namun berharap insiden sedemikian tidak akan berulang.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat menggesa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul merujuk Takiyuddin ke jawatankuasa berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan tidak wajar dan berasaskan maklumat tidak dapat disahkan pada perbahasan Belanjawan 2026 pada 22 Okt.

Dalam ucapannya, Takiyuddin membangkitkan kebimbangan latihan tersebut dengan mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran sambil memakai kasut.

Namun, Saifuddin menjelaskan kejadian sebenar hanya melibatkan enam anggota Maritim yang singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan terancang, dan insiden itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.