
Katanya, golongan muda sering menjadi sasaran kerana idealisme mereka yang masih rapuh.
Tambahnya, negara ketika ini sedang berhadapan fenomena polarisasi sosial.
“Algoritma media sosial memperkukuh persepsi serta pandangan sedia ada, dan melemahkan ruang dialog silang budaya. Akibatnya, jurang persefahaman antara kaum, agama, dan lapisan sosial masyarakat semakin melebar, sekali gus menjejaskan usaha ke arah pembentukan masyarakat yang bersatu dan harmoni.
“Kita berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan fahaman sempit yang meresap melalui saluran digital dan memanipulasi sentimen identiti untuk menanam kebencian, menolak kelainan, dan menggugat keharmonian,” katanya di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Sekretariat Rukun Negara (SRN) yang pertama kali dianjurkan selepas hampir sembilan tahun tidak diadakan. Kelab Rukun Negara di institut pengajian tinggi (IPT) kini dikenali dengan sekretariat itu.
Sehingga kini, terdapat 193 SRN di IPT seluruh negara.
Konvensyen itu dianjurkan semula sebagai medan penyatuan pemikiran dan semangat mahasiswa Malaysia yang menjunjung tinggi nilai perpaduan sebagai tunjang kekuatan negara bangsa.
Aaron ketika mengulas lanjut, berkata sebahagian generasi kini merasakan Rukun Negara hanyalah retorik silam, dan bukannya prinsip hidup.
Beliau turut menyebut belia antara golongan paling terkesan dengan isu diskriminasi dan perkauman.
“Sebanyak 43% belia Gen Z berumur 18–24 tahun mengakui pernah mengalami diskriminasi berdasarkan etnik, warna kulit atau dialek mereka, menjadikan mereka kumpulan paling tinggi terdedah kepada diskriminasi berbanding kumpulan umur lain,” katanya memetik ‘State of Discrimination Survey 2023 oleh Architects of Diversity Malaysia’.
Justeru, katanya peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan sosial tidak lagi bersifat pilihan, malah suatu keperluan strategik memacu masa depan perpaduan negara.
“Mahasiswa juga hendaklah menjadi penghubung silang komuniti merentasi batas kaum, agama, dan wilayah,” katanya.