Kerajaan teliti penyasaran subsidi gula, beras, minyak masak

Kerajaan teliti penyasaran subsidi gula, beras, minyak masak

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata penyasaran subsidi akan dilaksanakan lebih menyeluruh bagi memastikan tidak ada ketirisan.

MSM malaysia sugar gula prai
Kerajaan meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak sampai kepada golongan sasar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan meneliti penyasaran subsidi membabitkan barangan asas lain seperti gula, beras dan minyak masak secara berfasa selepas pelaksanaan subsidi bahan api melalui program Budi Madani RON95 (BUDI95) dan diesel berjalan lancar.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata penyasaran subsidi akan dilaksanakan lebih menyeluruh bagi memastikan tidak ada ketirisan dan menjamin kemudahan itu hanya dinikmati mereka yang benar-benar memerlukan.

“Buat masa ini keutamaan kerajaan adalah memastikan kelancaran pelaksanaan program penyasaran subsidi bahan diesel dan BUDI95 sebagai asas kepada penstrukturan subsidi yang menyeluruh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Lim menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk meluaskan penyasaran subsidi kepada barangan lain seperti gula, beras dan minyak masak bagi memastikan ia sampai kepada golongan memerlukan.

Dalam pada itu, Lim berkata, bagi memastikan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak sampai kepada golongan sasar, kerajaan meningkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain, khususnya melalui Op Tiris dan Kita Gempur.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan ketersediaan bekalan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak di setiap siri program Jualan Rahmah Madani.

“Bagi 2025, pelaksanaan program Jualan Rahmah itu diperluaskan kepada dua kali sebulan bagi setiap DUN, berbanding sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen sebelum ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.