
Shafie, bekas ketua menteri, berkata Warisan telah kenal pasti calon boleh menang, setia, dan mahu berkhidmat kepada rakyat Sabah.
“Kita bertanding 73 kerusi yang ada dan kita pun sudah mempunyai calon berpotensi. Kita cuma tinggal menunggu pengumuman (tarikh PRN) sahaja lagi,” katanya kepada pemberita di Semporna.
Beliau berkata, penting agar calon itu tidak beralih parti atau berhenti berkhidmat kepada rakyat Sabah selepas mereka dipilih. “Kita tidak mahu esok bila jadi calon, jadi Yang Berhormat, rakyat yang ditinggalkan dan merosakkan parti.”
Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan tamat pada 11 Nov nanti, melainkan berlaku pembubaran lebih awal bagi memberi laluan kepada pilihan raya.
Pada PRN 2020, Warisan menang 23 daripada 46 kerusi ditandingi. Namun, susulan beberapa siri lompat parti, parti itu kini hanya mempunyai 14 kerusi.
Pada Mac, Shafie menyatakan Warisan akan bertanding solo kerana pakatan mereka adalah ‘bersama rakyat’ dan bukannya dengan parti politik lain.
Pada Ahad, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor mengumumkan gabungan pemerintah Sabah dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju membentuk pakatan. Beliau berkata, formula asas mengenai pengagihan kerusi sudah dipersetujui, manakala beberapa ‘perkara kecil’ masih perlu dimuktamadkan.
Namun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi dalam reaksinya menyatakan pakatan BN ‘sudah mengunci’ kerjasama dengan PH, selaras persetujuan dicapai di peringkat nasional.
Kenyataan beliau dilihat petunjuk BN-GRS berkemungkinan akan bertembung pada PRN.
Sebelum ini, Umno Sabah dan GRS merupakan sekutu dalam kerajaan negeri selepas pilihan raya 2020, namun Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin gagal dalam percubaan menyingkirkan Hajiji pada Januari 2023 menerusi penarikan sokongan.
Hajiji kekal menjadi ketua menteri dengan dukungan PH, yang mana parti itu sebahagian kerajaan memerintah Sabah, manakala Umno dan Warisan berada di blok pembangkang.