RM8.7 juta lesap, pengamal perubatan ditipu pelaburan tak wujud

RM8.7 juta lesap, pengamal perubatan ditipu pelaburan tak wujud

Wanita berusia 53 tahun itu menyedari ditipu selepas diberitahu hanya memperoleh keuntungan sebanyak RM6,033.

hacker scammer
Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata mangsa tertarik dengan iklan pelaburan di media sosial yang menawarkan keuntungan lumayan.
JOHOR BAHRU:
Wang simpanan seorang pengamal perubatan sebanyak RM8.7 juta lebur apabila wanita berusia 53 tahun itu menjadi mangsa penipuan pelaburan saham secara dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata mangsa terlihat iklan berkaitan pelaburan berkenaan pada April lepas melalui media sosial dan tertarik dengan janji yang memberikan keuntungan lumayan.

Beliau berkata mangsa terus berurusan dengan suspek untuk mendapatkan maklumat lanjut, sebelum ditawarkan pulangan hingga 520% daripada jumlah pelaburan.

“Percaya dengan keuntungan yang dijanjikan antara bulan Mei hingga Julai, mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM8.7 juta ke dalam beberapa akaun bank seperti yang diarahkan suspek.

“Kemudiannya, daripada jumlah yang dilaburkan, mangsa diberitahu hanya memperoleh keuntungan sebanyak RM6,033 dan mangsa dipaksa untuk membayar lebih RM500,000 sebagai deposit untuk mengeluarkan wang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mangsa turut menerima ugutan bahawa akaun pelaburannya akan dibekukan, sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dan membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.