
Mohd Amar juga berkata isu itu sepatutnya tidak diperbesarkan lagi memandangkan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari telah memadam hantaran di Facebook selepas dikritik ramai.
Dakwanya, tindakan itu tidak akan menjejaskan sokongan kepada parti berkenaan termasuk di kalangan pengundi atas pagar dan bukan Melayu seperti dijangkakan penganalisis Mazlan Ali yang dilaporkan FMT hari ini.
“Dia tidak ada lari balik (jejaskan sokongan), sindir menyindir pun perkara biasa…bukan politik sahaja tetapi kehidupan harian.
“PMX (Anwar Ibrahim) sendiri pun sindir lawan politik…jadi apa masalahnya?,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Mazlan dipetik berkata tindakan Ahmad Fadhli menyindir rundingan damai Thailand-Kemboja diusahakan Malaysia dengan karikatur ‘haiwan rebut pisang’ boleh menjejaskan usaha PN menarik undi atas pagar.
Fadhli menerusi hantaran di laman sosial memuat naik karikatur kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang dengan monyet bertindak sebagai hakim berserta kapsyen ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’.
Namun, beliau telah memadam hantaran itu selepas dikritik ramai. Satu laporan polis dibuat ke atasnya oleh beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
Fadhli juga tidak berhasrat memohon maaf seperti digesa pelbagai pihak antaranya Ketua Pemuda PKR Kamil Munim, sebaliknya menyerahkan kepada siasatan polis.
Isnin lalu, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan dipertikaikan, hasil mesyuarat khas dipengerusikannya di Putrajaya.