
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, pemimpin PAS seharusnya mempamerkan sikap murni dan kematangan berpolitik untuk meluaskan pengaruhnya, bukan terus mengamalkan pendekatan menyindir.
Beliau berkata, tindakan Fadhli tidak melambangkan pemimpin itu sebagai Ahli Parlimen yang seharusnya lebih tahu hubungan diplomatik dan konflik serantau berbanding rakyat biasa.
“Tindakan beliau boleh menjauhkan pengundi atas pagar dan pengundi bukan Melayu dalam PRU akan datang kerana kenyataan sindiran itu tak patut dikeluarkan pemimpin PAS.
“Sepatutnya, Pasir Mas beri penghargaan kepada PMX kerana bagaimana dua negara Asean yang terlibat dalam perang telah memohon bantuan Malaysia untuk jadi mediator (pendamai), bukan semua pemimpin diberi kepercayaan begini.
“Bila sindir begini, rakyat tidak hormat (kepada pembangkang) dan tidak terjemahkan dalam bentuk undi dalam PRU nanti,” katanya kepada FMT, menambah Fadhli wajar mengambil tanggungjawab moral meminta maaf kepada semua pihak susulan sindiran dibuat di laman sosialnya.
Terdahulu, Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim menggesa Fadhli memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja susulan kenyataan dan hantaran memperlekeh usaha gencatan senjata antara kedua-dua negara itu.
Kamil berkata, tatkala dunia mengiktiraf peranan Malaysia khususnya Anwar Ibrahim sebagai arkitek keamanan serantau, tindakan Fadhli disifatkan sebagai tidak patriotik dan memalukan negara.
Fadhli menerusi hantaran di laman sosial memuat naik karikatur kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang dengan monyet bertindak sebagai hakim berserta kapsyen ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’.
Namun, beliau telah memadam hantaran itu selepas dikritik ramai. Satu laporan polis dibuat ke atasnya oleh beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di IPD Dang Wangi.
Dalam jawapan ringkas kepada FMT, Fadhli bagaimanapun menyatakan tidak berhasrat memohon maaf dan menyerahkan isu berkenaan kepada polis untuk siasatan.
Semalam, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan dipertikaikan, hasil mesyuarat khas dipengerusikannya di Putrajaya.
Mazlan berkata, PAS perlu mengawal pemimpin mereka daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi kesan buruk kepada parti itu sendiri.
“Rakyat tidak hormat kepada pemimpin seperti ini, saya lihat ada beberapa pemimpin di dalam PAS yang selalu mengeluarkan kenyataan merugikan.
“Kepimpinan PAS perlu kawal pemimpin mereka yang secara tidak langsung beri kesan buruk kepada PAS sendiri,” katanya.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, politik sindiran yang menjadi darah daging PAS menunjukkan pemimpin parti itu ‘cetek ilmu’ terhadap konflik serantau.
“Nampak sangat yang tukang buatnya (Fadhli) tidak faham isu yang cuba Malaysia selesaikan, tak faham isu dan ‘tak buat kerja rumah’. Kalau tak faham…lebih baik jangan buat karikatur yang memakan diri sendiri,” katanya.