
Menurut Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz, Wong Forklift Hire & Services Sdn Bhd gagal memenuhi syarat undang-undang untuk menjayakan usaha memohon semakan kehakiman.
“Saya mendapati syarikat pemohon gagal membuktikan kesnya. Fakta kes ini tidak dipertikaikan, begitu juga hubungan antara pihak-pihak,” katanya dalam penghakiman baru-baru ini.
Hayatul, kini di Mahkamah Rayuan, berkata Pengerusi Mahkamah Perusahaan D Paramalingam tidak terkhilaf apabila mendapati Wong Jun Kiat diberhentikan kerja secara konstruktif.
Hayatul berkata syarikat itu secara sewenang-wenangnya dan secara unilateral mengurangkan gaji Wong dan gajinya untuk Februari dan Mac 2019 tidak dibayar. Hakim juga mendapati syarikat itu gagal membayar caruman statutori kepada KWSP dan Perkeso untuk manfaat Wong.
“Tiada kerja diberikan kepadanya tanpa justifikasi yang sah, yang mana beliau menganggapnya sebagai diletakkan dalam ‘cold storage’,” tambahnya.
Hayatul berkata Wong berhak meninggalkan pekerjaannya, setelah memenuhi semua kriteria “contract test” untuk membuktikan pemberhentian kerja secara konstruktif.
Beliau memerintahkan syarikat itu membayar Wong kos sebanyak RM6,000.
Pihak syarikat telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ini.
Ibu tiri kurangkan gaji Wong
Dalam keputusannya, Paramalingam mendapati pengarah syarikat, Sim Foo Yoke, yang juga ibu tiri Wong, mengurangkan gaji Wong secara salah tujuh bulan selepas Wong kematian bapanya.
“Pengurangan gaji pertama kali dikenakan bermula Oktober 2018. Ia sememangnya bukan kebetulan bahawa saman Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang mana plaintif (Wong) mencabar wasiat arwah bapanya, juga difailkan pada Oktober 2018.
“Seperti yang dihujahkan oleh plaintif, pengurangan gaji adalah tindakan balas oleh Sim terhadap plaintif kerana memfailkan saman (untuk mempertikaikan wasiat),” menurutnya.
Paramalingam mendapati syarikat itu secara unilateral mengurangkan gaji Wong daripada kira-kira RM27,500 kepada RM9,000, dan kemudian RM6,000 sebulan, yang, katanya, adalah ‘pelanggaran asas’ kontrak pekerjaan.
Beliau mendapati Wong tidak dirunding sebelum pengurangan gaji dikenakan.
Tindakan Wong munasabah
Paramalingam juga mendapati Wong bertindak ‘secara munasabah’ dan ‘tepat pada masa’ selepas beliau tidak dibayar gaji untuk Februari dan Mac 2019 dengan menuntut pengembalian gaji penuh pada bulan berikutnya, yang mana syarikat itu gagal melaksanakannya.
Beliau berkata perintah untuk mengembalikan pekerjaan Wong dalah tidak sesuai kerana kepercayaan, keyakinan, dan hubungan kekeluargaan antara Sim dan Wong telah terjejas.
“Pengarah syarikat (Sim) tidak dapat bersua muka selepas Wong memulakan saman mempersoalkan wasiat terakhir arwah bapanya,” kata Paramalingam.
Wong diberikan pampasan sebanyak RM550,000 sebagai ganti pengembalian pekerjaan, dan RM660,000 lagi bagi gaji tertunggak, tertakluk kepada potongan RM198,000 atas pendapatan selepas pemberhentian.
Yap Teck Hui dan Gan Soon Ong mewakili pihak syarikat selaku peguam, manakala Justin Chin mewakili Wong dalam prosiding Mahkamah Tinggi.