
“Selepas hampir sembilan tahun kehilangan seorang suami dan bapa, penderitaan dan ketidakpastian, penghakiman ini membawa keputusan yang sudah lama dinanti-nantikan,” kata Susanna Liew selepas mahkamah memerintahkan kerajaan dan polis membayar pampasan lebih RM37 juta kepada keluarga Koh.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Shamzaini Daud daripada Cawangan Khas polis, yang disifatkannya berani mendedahkan kebenaran di sebalik penculikan tersebut.
“Tidak wajar jika kami tidak menyebut seorang individu ini, yang bangkit menentang segala rintangan dan tekanan, mendedahkan kebenaran yang membolehkan kami sampai ke tahap ini.
“Individu itu tidak lain tidak bukan ialah Sarjan Shamzaini dari Cawangan Khas,” katanya pada sidang media di kompleks mahkamah Kuala Lumpur.
Koh diculik pada siang hari 13 Feb 2017 ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.
Mahkamah Tinggi mendapati satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Koh dan bertindak mengikut ‘satu arahan’ lapan tahun lalu.
Liew sebelum ini menyaman polis dan kerajaan berhubung pembabitan kerajaan dalam kehilangan Koh serta cara pihak berkuasa mengendalikan siasatan kes tersebut.
Hari ini, beliau menegaskan bahawa kedua-dua inkuiri Suhakam dan pasukan petugas khas telah mengesahkan pembabitan pegawai polis dalam kes penculikan Koh serta aktivis Amri Che Mat.
Beliau meluahkan rasa kesal atas kegagalan kerajaan untuk bertindak berdasarkan syor yang dikemukakan atau menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Kami amat kecewa apabila tiada sebarang tindakan diambil ke atas pegawai yang dinamakan dalam laporan tersebut, dan tiada RCI ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan Koh dan juga Amri,” katanya.
Meskipun penghakiman hari ini tidak dapat mengembalikan suaminya, Liew berkata, ia suatu bentuk keadilan, pembelaan dan kesudahan bagi keluarganya.
“Kami tujukan perjuangan dan keputusan ini khas buat Koh, seorang yang teguh imannya, penuh belas kasihan dan berani, serta kepada semua mangsa kehilangan paksa,” katanya.