
Tertuduh, Ong Kai Wei, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar, lapor Berita Harian.
Ong yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika kejadian didakwa menyebabkan kematian kepada penumpang kereta, Ayesha Sofea Anwaruddin yang berusia dua tahun.
Kesalahan dilakukan di Kilometer 144.9 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara jam 7.35 pagi pada 26 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludeen, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Nurashikin Fuaddin.
Mahkamah menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000, selain memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes ini selesai.
Mengikut laporan media, Ayesha Sofea disahkan meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) akibat kecederaan parah susulan kemalangan itu.