2 maut, 5 cedera dalam kemalangan di Kota Tinggi

2 maut, 5 cedera dalam kemalangan di Kota Tinggi

Polis berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Proton Waja hilang kawalan dan melanggar Perodua Alza di laluan bertentangan.

Keadaan kereta Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Proton Waja di KM 18 Jalan Mawai-Kuala Sedili di Kota Tinggi, Johor tengah hari tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 18 Jalan Mawai-Kuala Sedili di Kota Tinggi, Johor tengah hari tadi.

Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman berkata dalam kemalangan itu dua mangsa lelaki berusia 71 dan 29 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Proton Waja itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar dengan sebuah Perodua Alza.

“Lima penumpang pula cedera parah dan dirawat di Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.

Menurutnya, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 1.15 tengah hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bomba dalam satu kenyataan berkata pihaknya menyelamatkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu sebelum mereka diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk dibawa ke hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.