Generasi muda sokong sekat pemilik rumah rasis, dedah tinjauan

Generasi muda sokong sekat pemilik rumah rasis, dedah tinjauan

Namun, mereka yang berumur 35 hingga 54 merasakan bahawa pemilik harus mengekalkan hak untuk memilih penyewa mengikut kaum.

Satu forum mengenai Akta Sewa Kediaman yang dicadangkan mendengar tentang dapatan tinjauan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia daripada generasi berbeza mempunyai pandangan bertentangan tentang diskriminasi kaum dalam pasaran perumahan.
KUALA LUMPUR:
Rakyat Malaysia berumur 18 hingga 24 tahun bersetuju menyekat pemilik rumah memilih penyewa mengikut kaum manakala hampir 59% rakyat Malaysia berumur 35 hingga 54 tahun pula tidak bersetuju, menurut satu tinjauan pasaran.

Tinjauan oleh firma penyelidikan pasaran YouGov itu menunjukkan bahawa hampir 57% daripada 1,104 responden tinjauan memihak kepada undang-undang untuk mengawal selia pasaran dan hanya 10% menentang Akta Sewaan Kediaman yang dicadangkan selama bertahun-tahun.

Namun, responden berpecah mengikut kumpulan umur sama ada untuk mengharamkan diskriminasi kaum dalam perumahan. Hampir 50% percaya bahawa pemilik harus dibenarkan memilih penyewa berdasarkan kaum, manakala 31% percaya ia harus dilarang.

Mereka yang berumur 18 hingga 24 tahun adalah satu-satunya kumpulan umur di mana kemajmukan (39%) menyokong untuk melarang amalan diskriminasi kaum dalam penyewaan, manakala 58.7% rakyat Malaysia berumur 35 hingga 54 lebih cenderung agar pemilik mengekalkan hak memilih penyewa berdasarkan kaum.

Hampir dua daripada lima responden India dalam tinjauan itu melaporkan menghadapi diskriminasi kaum dalam pasaran perumahan. Sokongan untuk mengharamkan diskriminasi kaum adalah tertinggi dalam kalangan kaum India (63.8%), mereka yang berumur 18 hingga 24 tahun (39%) dan pelajar sepenuh masa (42%).

Dapatan tinjauan itu dikeluarkan pada forum oleh pertubuhan masyarakat sivil Arkitek Kepelbagaian, yang diadakan sempena pelancaran laporan terbarunya mengenai diskriminasi sewaan perumahan.

Jason Wee
Jason Wee.

Peserta forum itu menggesa kerajaan meluluskan undang-undang yang telah lama tertangguh itu. “Jika kerajaan gagal meluluskan Akta Sewaan Kediaman atau lebih teruk, meluluskannya tanpa menangani diskriminasi kaum, ia akan terlepas peluang terbesarnya untuk melindungi orang India,” kata Pengarah Eksekutifnya Jason Wee.

Wee berkata golongan muda lebih teruk terjejas akibat diskriminasi itu, terutama daripada kumpulan minoriti yang bergantung kepada rumah sewa semasa bekerja atau belajar di bandar.

Menurut mereka di forum itu, pemilik menyatakan tiga sebab utama memilih penyewa mengikut kaum: takut kehilangan pendapatan kerana penyewa bermasalah; pertembungan budaya atau agama dan prejudis peribadi dilihat sebagai ‘keutamaan kaum’.

Seorang responden, yang dikenal pasti sebagai ‘Serani’, menerangkan bagaimana ejen hartanah sering kelihatan lebih berminat dengan latar belakang kaumnya berbanding kelayakan kewangan.

Fikri Faisal
Fikri Faisal.

Penyelidik bebas Fikri Faisal, yang bercakap di forum itu, menyatakan angka purata sewa dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan adalah RM608 manakala sewa hartanah swasta pula antara RM2,200 dan RM2,500.

Fikri menggesa pengumpulan data dilakukan dengan lebih baik kerana jurang itu tidak menggambarkan situasi sebenar dalam dasar perumahan negara.

Lebih 50% responden menyokong penubuhan tribunal sewa untuk menyelesaikan pertikaian antara pemilik dan penyewa, seperti lebihan deposit atau pengusiran, tanpa kos tinggi peguam dan prosiding mahkamah.

Tribunal itu mendapat sokongan lebih besar, terutamanya oleh golongan berumur 45 tahun ke atas, responden Cina dan golongan berpendapatan tinggi. Sokongan paling rendah adalah dari kalangan pelajar dan pengganggur, yang paling terdedah kepada diskriminasi dan ketidaktentuan sewa.

Rajiv Rishakaran
Rajiv Rishakaran.

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishakaran berkata campur tangan dasar adalah wajar jika walaupun peratusan kecil penyewa menghadapi diskriminasi kaum.

“Semua orang bimbang apabila mendengar tentang Akta Sewa Kediaman kerana takut kawalan sewa atau terlalu banyak syarat dimasukkan dalam kontrak, yang menyukarkan mereka,” katanya.

Menurutnya beliau berharap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming akan mempertimbangkan penubuhan tribunal sewa, kerana ia akan membantu mengurangkan insiden diskriminasi sewa.

Wee berkata: “Undang-undang wujud adalah untuk meletakkan had dan menawarkan bantuan kepada mereka yang terjejas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.