Chow sangkal dakwaan Sanusi berhubung diskriminasi bekalan air

Chow sangkal dakwaan Sanusi berhubung diskriminasi bekalan air

Ketua menteri P Pinang itu berkata, air ialah hak asasi yang mustahil untuk dinafikan kepada mana-mana golongan masyarakat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengingatkan bahawa gangguan bekalan air pada Januari lepas dialami semua lapisan masyarakat di negeri itu.
GEORGE TOWN:
Pulau Pinang tidak pernah mendiskriminasi mana-mana kawasan berhubung bekalan air, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Katanya, air ialah suatu hak asasi yang mustahil untuk dinafikan kepada mana-mana golongan masyarakat.

Beliau menjawab kenyataan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang memberi tanggapan bahawa masalah kekurangan air dihadapi penduduk Sungai Bakap adalah disebabkan ia kawasan majoriti Melayu.

“Mana mungkin kita boleh kawal air ke kawasan atau sebahagian masyarakat (tertentu)? Jangan kita lupa, apabila berlaku pemotongan air kecemasan pada Januari lepas, ribuan rakyat daripada semua lapisan masyarakat terjejas,” katanya kepada pemberita di Lebuh Acheh hari ini.

Pada Januari, injap yang rosak di loji air menyebabkan kebanyakan kawasan di negeri mengalami gangguan bekalan air.

Awal hari ini, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil membidas Sanusi berhubung dakwaannya Pulau Pinang pilih kasih dalam menangani masalah air di Sungai Bakap.

Pada pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) PRK Sungai Bakap Sabtu lepas, Sanusi mendakwa, kawasan itu mengalami masalah air kerana ia kawasan ‘Tok Lebai’, memberi tanggapan berlakunya diskriminasi kaum dan pegangan politik.

Fahmi yang juga menteri komunikasi hari ini berkata, kenyataan berbaur hasutan dan perkauman seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan seorang menteri besar.

“Beliau sering kali tidak bercakap dengan fakta (dan) buka mulut sahaja bohong,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari turut menafikan dakwaan berlakunya pilih kasih dengan berkata, isu air di Seberang Perai Selatan berlaku disebabkan permintaan yang meningkat mendadak.

Katanya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan beberapa projek tebatan, termasuk menambah kapasiti loji rawatan air Bukit Panchor dan memasang tangki pam baharu di Taman Widuri.

Sementara itu, DAP Bukit Bendera membuat laporan polis mendakwa Sanusi memfitnah dan menghasut, menuduh beliau membuat kenyataan tidak berasas untuk mencetuskan ketegangan kaum.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan perjanjian untuk Perak membekalkan air ke Pulau Pinang, yang dijangka menstabilkan bekalan ke kawasan seperti Sungai Bakap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.