
Kong Siew Tong, 99, yang meninggal dunia pada 2017, turut didapati menjadi mangsa pengaruh tidak wajar, manipulasi, kawalan dan dominasi tiga individu, termasuk anak perempuannya yang juga penjaga utamanya.
Hakim Wong Kian Kheong ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata, mahkamah mempunyai keraguan serius terhadap kesahihan dan kerelaan wasiat berkenaan. Justeru, seorang anak dewasa daripada setiap isteri mendiang dilantik pentadbir bersama harta pusaka.
“Pentadbir bersama hendaklah membahagikan harta pusaka si mati mengikut Akta Pembahagian 1958,” katanya ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa wasiat itu sah dan boleh dikuatkuasakan.
Perayu turut diberikan kos RM180,000.
Hakim Supang Lian mempengerusikan panel tiga hakim itu, yang turut dianggotai Hakim Azimah Omar.
Mendiang yang mempunyai 13 anak, memiliki banyak harta, tetapi buta huruf. Beliau bergantung kepada orang lain untuk menerangkan dan menterjemah kandungan dokumen kepadanya.
Kong berkerusi roda sejak 2009 dan dijaga anak perempuannya di rumahnya di Dengkil, Selangor.
Rayuan itu difailkan tujuh anaknya berumur 63 hingga 77 tahun yang memohon wasiat berkenaan diisytiharkan tidak sah. Tiga lagi anaknya, iaitu responden berumur 76 hingga 78 tahun mahu membuktikan kesahihan wasiat terbabit.
Dalam penghakiman bertulis setebal 95 muka surat, Wong berkata, seorang peguam kanan yang juga anak saudara mendiang memberi keterangan semasa pemeriksaan balas bahawa Kong “agak pelupa”. Peguam itu berkata, dia terpaksa mengulangi soalannya kepada Kong setiap kali mereka bertemu.
Hakim berkata, disebabkan timbul keraguan terhadap kapasiti testamentari Kong, peraturan ditetapkan dalam kes Simpson (1977) perlu dipatuhi – doktor yang memberi keterangan perlu hadir untuk memeriksa pewasiat sebelum wasiat disediakan.
“Wasiat (yang ditandatangani individu lanjut usia) perlu disaksikan dan diluluskan pengamal perubatan yang berpuas hati dengan kapasiti testamentari si mati.”
Katanya, rayuan itu dibenarkan kerana keterangan dua saksi, iaitu peguam dan keraninya gagal membuktikan keupayaan kapasiti testamentari Kong.
Tegasnya, keterangan peguam dalam perbicaraan tiada kredibiliti.
Wong berkata, Dr Lim Tye Leng yang juga pakar perubatan perunding di sebuah hospital swasta dan doktor peribadi Kong selama 17 tahun sehingga 2013, telah memberi keterangan bahawa Kong pernah terjatuh pada 2012 dan tidak ingat apa yang berlaku kepada dirinya.
Hakim berkata, tanpa memaklumkan perayu, responden menghentikan perundingan itu dan membawa Kong mendapatkan rawatan dengan Dr Lim Chin Seng, pakar perubatan dan nefrologi di hospital swasta lain sebanyak 11 kali antara 2016 hingga 2017.
Wong berkata, Tye Leng adalah pakar perubatan profesional bebas yang tiada kepentingan kewangan dalam keputusan kes ini. Sebaliknya, mahkamah mendapati responden tidak memanggil Chin Seng untuk memberi keterangan pakar berhubung kapasiti testamentari si mati.
Akibatnya, mahkamah mengguna pakai Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 dan membuat inferens buruk terhadap responden kerana menyekat keterangan Chin Seng, yang dianggap penting kepada kes itu.
Wong turut mendapati wasiat itu disimpan anak perempuannya, iaitu responden kedua, dalam peti besi.
“Responden kedua memasang pagar gril pada pintu bilik (yang menempatkan peti besi),” katanya sambil menambah hanya dia mempunyai akses ke atas wasiat itu.
Wong berkata, Kong mengalami kecederaan parah akibat terjatuh pada Disember 2015 dan dimasukkan ke hospital.
Tanpa berunding dengan perayu, katanya, Kong kemudian dipindahkan dari rumahnya di Dengkil ke rumah responden ketiga di Bukit Mewah, Kajang.
Beliau berkata, responden tidak membenarkan perayu menemui Kong dan responden ketiga turut mengarahkan anggota keselamatan di pos pengawal menghalang mereka masuk.
Wong juga mendapati Kong tidak diberikan salinan wasiat ditandatanganinya.
“Tindakan anak perempuan itu juga memastikan hak si mati untuk membatalkan atau mempersetujui wasiat tidak dapat dilaksanakan kerana disimpan dalam peti besi dengan salah seorang responden memegang kuncinya.”
Responden merayu keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan.