
Pengarah program kumpulan itu, Ryan Chua berkata, Malaysia mesti memupuk generasi yang mempelajari dan memahami satu sama lain dengan lebih baik, sekali gus mengekang permusuhan pada masa isu kaum dan agama dengan mudah digunakan untuk mengelirukan rakyat.
Beliau memberikan Sweden dan New Zealand sebagai contoh negara yang berjaya mempromosikan kesedaran budaya dan perpaduan dalam kalangan kanak-kanak.
Kepelbagaian budaya disepadukan dalam kurikulum kebangsaan Sweden, manakala New Zealand menerapkan bahasa dan budaya Maori untuk memupuk rasa hormat dan kefahaman tentang tradisi orang asli negara itu, katanya.
Chua berkata demikian mengulas cadangan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil agar kanak-kanak didedahkan kepada budaya membaca, terutamanya buku-buku yang memaparkan kepelbagaian masyarakat berbilang etnik dan agama di negara ini.
Beliau berkata, kerajaan mesti menunjukkan komitmennya dengan melaksanakan undang-undang yang ketat untuk melarang “Napoleon kecil” daripada mengganggu perpaduan.
Katanya, Malaysia harus menjauhi usaha dangkal dan mengadakan dialog untuk meningkatkan kesedaran tentang amalan budaya lain.
“Hanya selepas itu baru kita boleh memupuk generasi berilmu yang meraikan perbezaan,” katanya.
Melawan stereotaip
Bekas profesor pendidikan di Universiti Malaya T Marimuthu berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) dan sekolah-sekolah harus memastikan kepelbagaian masyarakat Malaysia ditunjukkan dalam kurikulum dan buku teks.
“Jangan sekali-kali ada stereotaip (tentang mana-mana) kumpulan etnik atau agama di negara ini. Jika tidak, murid-murid akan mempunyai pandangan stereotaip tentang kumpulan-kumpulan yang berbeza.
“Di situlah peranan sekolah, buku teks, dan kurikulum sangat penting. Gambaran tentang kumpulan etnik yang berbeza perlu seimbang, nyata dan benar,” katanya.
Bagaimana masyarakat boleh membantu
Marimuthu berkata, guru-guru juga mesti diberi latihan tentang budaya untuk meningkatkan sensitiviti mereka terhadap kumpulan etnik yang berbeza, di samping menggalakkan pelajar duduk dalam kumpulan yang pelbagai di dalam kelas.
Katanya, masyarakat umum mesti terbuka untuk mempelajari budaya yang berbeza; ibu bapa penting dalam memupuk tabiat membaca dalam kalangan anak-anak sejak kecil agar mereka boleh faham tentang masyarakat berbilang budaya dengan lebih baik.
Bekas pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata, guru-guru harus diajar untuk mengelak daripada mempromosikan ketaksuban dan diskriminasi kaum.
“Sekiranya perkara ini boleh diterapkan dalam kurikulum pendidikan, kita boleh membayangkan generasi yang akan mempelajari nilai-nilai yang betul dalam pembangunan negara,” katanya.
Menurutnya, suruhanjaya kesaksamaan, seperti yang wujud di negara-negara seperti United Kingdom, diperlukan untuk menangani rasisme, katanya.
Ajar tentang hak asasi manusia juga
Joseph, yang juga pengarah Pusat Komas berkata, pendidikan hak asasi manusia juga perlu diterapkan di sekolah-sekolah untuk mengajar tentang kesaksamaan dan memupuk rasa hormat terhadap semua masyarakat.
Beliau berkata, contoh boleh diambil daripada Filipina, yang menerapkan pendidikan hak asasi manusia dalam sistem pendidikan mereka sejak sekolah rendah.
“Ajaran tentang keharmonian antara agama juga boleh dimasukkan dalam pendidikan hak asasi manusia jika ia dilaksanakan. Jika tidak, dialog antara agama patut dijadikan komponen berasingan, sebagai kursus pendek tetap untuk semua pelajar di sekolah dan universiti,” katanya.