
Hakim Abdul Wahab Mohamed berkata, permohonan oleh Liew Yoke Chuan, Khoo Choong Hiang, Liew Wong, Lee Yoon Li, Chong Kin Heong dan Tan Yeong Seng tidak remeh.
Hanya PKNP membantah permohonan petani-petani itu.
Wahab turut memutuskan bahawa penangguhan sementara semua tindakan yang diambil oleh para responden, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, dan PKNP, terhadap petani menurut notis-notis bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, iaitu kerana pendudukan secara tak sah, dikekalkan sehingga semakan kehakiman selesai.
Kumpulan petani itu memfailkan prosiding itu pada Oktober lepas.
Menamakan pengarah tanah dan galian Perak dan kerajaan negeri sebagai responden, petani-petani itu mahu mahkamah membatalkan notis yang dikeluarkan terhadap mereka, dan mengisytiharkan bahawa para responden telah melanggar kewajipan mereka untuk bertindak adil.
Kumpulan petani itu turut mendakwa pelbagai representasi telah dikemukakan kepada para responden dalam usaha mendapatkan tanah lain untuk pertanian.
Mereka menegaskan mereka ada hak untuk kekal di tanah itu sehingga suatu pajakan-pajakan bagi bidang-bidang tanah yang dijanjikan dikeluarkan untuk mereka.
Justeru, mereka memohon mahkamah melarang para responden memindahkan mereka sehingga jangkaan sah mereka dipenuhi.
Mereka turut memohon diberikan ganti rugi.
Rabinder Singh dan Jason Tiew mewakili kumpulan petani itu selaku peguam, manakala Raymond Mah dan Denise Phang tampil bagi pihak PKNP.
Responden lain diwakili penasihat undang-undang persekutuan, Norazlinawati Arshad.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mac.