
Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia, Tan Kian Aun, berkata menerusi RTA kerajaan boleh memasukkan syarat supaya pemilik atau ejen dilantik berhak mendapatkan maklumat terperinci serta mempunyai kebenaran memeriksa unit disewakan bagi mengelak ia dijadikan sarang jenayah.
“Kemudian pemilik juga wajib mendaftarkan maklumat penyewa kepada pengurusan kediaman, jadi pihak pengurusan tahu bahawa pemilik tidak duduk di situ,” katanya kepada FMT.

Tan mengulas cadangan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, supaya diwujudkan tatacara lebih tegas bagi menuntut pemilik premis mengenali pelanggan mereka terlebih dahulu sebelum menyewakannya.
Jumaat lalu Ramli berkata, alasan pemilik tidak tahu tentang kegiatan jenayah dilakukan di premis mereka tidak boleh dipertimbangkan, malah mereka sewajarnya dipertanggungjawabkan.
November lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata penggubalan RTA berupaya mengimbangkan hak dan kewajipan pemilik kediaman dan penyewa tanpa melibatkan elemen kawalan terhadap kadar sewaan.
Mengulas lanjut, Tan berkata pemilik premis tidak wajar ‘dihukum’ atas kesalahan dilakukan penyewa.
Katanya, ada dalam kalangan penyewa menabur bermacam-macam janji, namun kemudian melakukan kegiatan jahat di premis disewa.
“Kita tak boleh beri jaminan yang (penyewa) takkan jadi jahat. Jadi dengan elakkan ia berlaku, perlu benarkan pemilik dan ejen buat pemeriksaan setiap tiga hingga enam bulan,” katanya, memberi contoh langkah sama di Australia dan Singapura.
Penggunaan premis kediaman yang disewa seperti kondominium untuk kegiatan jenayah, antaranya pusat panggilan bagi kegiatan penipuan bukan perkara baharu, terlindung oleh privasi dan kawalan keselamatan yang ketat.
Terbaru, Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penipuan dalam talian didalangi warga asing dalam serbuan di 17 unit kediaman mewah di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Seramai 46 warga asing, termasuk dari China, Indonesia, Myanmar dan Thailand ditahan dalam serbuan pada 19 Feb, lapor Bernama.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, premis itu dipercayai disewa sindiket untuk dijadikan pusat panggilan bagi memperdayakan mangsa dengan tawaran pembelian emas, hartanah, kapal mewah, pelaburan saham dan mata wang asing yang tidak wujud.